fbpx
Zizie Izette ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh M FIDAUS M JOHARI/ KOSMO!

Subahat rasuah, nasib Zizie Izette diketahui 20 Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 20 Julai ini bagi keputusan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung tiga pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Keputusan sama ada balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu dilepas atau disabitkan atas tiga tuduhan di akhir kes pembelaan akan ditentukan Hakim Rosli Ahmad yang telah selesai mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 9 Julai ini sebelum tarikh keputusan itu.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry, manakala Zizie Izette, 48, diwakili peguam K. Kumaraendran, M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen menetapkan hari ini bagi hujahan lisan kes rasuah itu selepas peguam Kumaraendran memaklumkan pihak pembelaan menutup kes selepas anak guamnya selesai memberi keterangan pada 5 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad dengan memperoleh suapan wang RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan suaminya untuk memperoleh suapan tunai RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan tunai RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Zizie Izette didakwa melakukan semua kesalahan itu di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,

Jika sabit kesalahan, pelakon itu berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Allahyarham yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN