fbpx
TIGA lelaki warga Korea Selatan didakwa di Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki senegara mereka di Genting Highlands April lalu.

Tiga lelaki Korea Selatan mengaku tidak bersalah culik rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Tiga lelaki warga Korea Selatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik dan menahan secara salah seorang rakan senegara mereka sebelum didakwa menuntut wang tebusan berjumlah 10 juta mata wang kripto Tether (USDT) pada April lalu.

Tertuduh, Kwon Kyungryul, 28, Kwak Jaeil, 40, dan Kim Myeong Joon, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menerusi jurubahasa Korea Selatan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama melarikan serta menahan secara salah seorang lelaki warga Korea Selatan berusia 40 tahun dengan tujuan mendapatkan wang tebusan sebanyak USDT 10 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 16, Jalan Genting Highlands, Bentong pada 17 April lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 (Akta 374) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula kes bagi membolehkan penyerahan dokumen dan pelantikan peguam dilakukan.

Beliau juga memaklumkan kes tersebut telah dimaklumkan kepada Kedutaan Korea Selatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan ketiga-tiga tertuduh ditahan tanpa sebarang tawaran jaminan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN