JASIN – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengakui berdebar menjelang keberangkatannya untuk menunaikan haji sehingga menitipkan doa sekiranya ditakdirkan meninggal dunia di Tanah Suci.
Menurut beliau, walaupun sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke Mekah, namun perasaan untuk mengerjakan haji kali ini bersama ibu dan isterinya pada tahun ini diakui sangat berbeza dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Saya tidak tahu kenapa saya rasa berat, sangat berat, saya pergi umrah banyak kali, tetapi nak pergi haji dia rasa berdebar lain macam.
“Kalau ikut logik akal, saya rasa macam tak dapat pergi tahun ini, tetapi bila kita percaya dengan kuasa dan takdir Allah, bila Allah kata jadi, maka jadilah,” katanya menerusi perkongsian di media sosial hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, peluang terpilih menjadi tetamu Allah bersama ibu dan isterinya merupakan hadiah paling tidak ternilai dalam hidupnya.
“Saya rasa ini hadiah yang paling tidak ternilai buat saya kerana lagi dekat nak pergi, lagi rasa berdebar. Saya nak minta doa daripada kakak-kakak dan orang kampung agar dipermudahkan segala urusan ibu dan isteri saya mengerjakan haji.
“Saya juga doa agar Allah jemput kita semua mengerjakan haji,” katanya.
Menurut beliau, terdapat satu doa yang sentiasa dipinta ketika berada di Tanah Suci iaitu agar dikurniakan husnul khatimah di kota suci Mekah atau Madinah. – KOSMO! ONLINE














