TANGGAL 1 Jun 2026, genaplah usia Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-69 yang telah menjadi benteng pertahanan kepada negara ini.
Selaras dengan pertambahan angkatan udara tersebut, bertambah jugalah usia aset yang ada dalam infrantri TUDM secara amnya.
Ada juga aset yang telah sepatutnya digantikan khidmat ‘mereka’ kepada aset yang baharu termasuklah pengantian MRCA atau Multi-Role Combat Aircraft.
Pesawat seperti ini mempunyai pelbagai peranan dan tugas seperti pertahanan udara, serangan darat, pemintasan, dan misi pengawasan tertentu.
Jadi bagi penulis, antara ‘calon’ pesawat yang sepatutnya menjadi senarai TUDM adalah termasuk Sukhoi Su-57E yang juga pesawat tempur generasi kelima.
Menariknya, pesawat ini juga telah disaksikan semdiri keupayaannya oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika mengadakan lawatan ke Persekutuan Russia pada bulan lalu.
Pada lawatan itu, Seri Paduka Baginda telah menyaksikan demonstrasi udara hampir tujuh minit di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky, Moscow.
Susulan lawatan Seri Paduka Baginda juga, rata-rata rakyat Malaysia mahu pesawat itu ‘berada’ di Malaysia suatu hari nanti dan terbang bersama pasukan ‘Toruk Makto’.
Malah beberapa pemerhati pertahanan juga turut berkongsi keterujaan dan harapan mereka untuk melihat Su-57E berada dalam skuadron TUDM.
Menurut Penganalisis Pertahanan, Zaki Saleh, TUDM sememangnya memerlukan pesawat generasi kelima pada masa depan sejajar dengan kemajuan kuasa udara serantau.
Ini kerana katanya, keupayaan pesawat tempur juga telah beralih kepada generasi (Gen) 4.5 dan Gen 5.
Sehubungan itu Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada platform generasi ke-4 semata-mata untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
“Su-57E mempunyai beberapa kelebihan yang menarik untuk dipertimbangkan. Antaranya Keupayaan stealth atau halimunan radar yang mengurangkan pengesanan musuh.
“Supermaneuverability melalui sistem ‘thrust vectoring’ yang menjadikan pesawat sangat lincah dalam dogfight. Radar AESA dan sistem peperangan elektronik moden.
“Keupayaan membawa peluru berpandu jarak jauh dalam ruang dalaman senjata. Kelajuan supersonik berterusan (supercruise),”katanya.
Tambah beliau, pesawat itu juga mempunyai keserasian tertentu dengan inventori Sukhoi Su-30MKM milik TUDM dari segi operasi dan logistik.
Selain itu, Rusia sendiri mempromosikan Su-57E kepada Malaysia semasa LIMA 2025 dan DSA 2026 dengan menyatakan pesawat itu sesuai untuk pembangunan masa depan TUDM.
Kesimpulannya, Su-57E memang sebuah pesawat yang sangat berkeupayaan dan mempunyai nilai strategik kepada TUDM, tetapi keputusan membelinya tidak boleh hanya berdasarkan kehebatan teknikal semata-mata.
Semoga impian rakyat Malaysia dan peminat pesawat tempur untuk melihat Su-57E atau gelarannya ‘felon’ ini digunakan TUDM tercapai satu hari nanti.














