PETALING JAYA – Kuala Lumpur terus mencuri perhatian pelancong apabila seorang warga Indonesia berkongsi pengalaman bercuti bersama keluarganya di ibu negara baru-baru ini.
Sesarika Widya yang juga seorang pempengaruh media sosial menyifatkan Kuala Lumpur antara destinasi luar negara paling mesra kanak-kanak dan berpatutan.
Menerusi satu perkongsian tular, Sesarika mengakui terkejut dengan pelbagai kemudahan yang disediakan di taman terbuka dan taman permainan percuma yang mudah diakses selain selesa untuk keluarga.
Katanya, antara perkara yang membuatkan dia sekeluarga selesa bercuti di ibu negara adalah kawasan hijau dan taman permainan yang banyak selain persekitaran yang didakwa kurang asap rokok.
“Aku nobatkan liburan keluarga ke Kuala Lumpur sebagai liburan ke luar negeri terdekat paling ‘kids friendly’ (mesra kanak-kanak) dan paling terjangkau (berpatutan),” tulisnya.
Katanya, harga makanan di Kuala Lumpur juga tidak banyak beza dengan Jakarta sekali gus menjadikan kos percutian lebih terkawal buat keluarga yang membawa anak kecil.
Lebih mengejutkan, hotel-hotel bertemakan keluarga di Kuala Lumpur ditawarkan pada harga jauh lebih murah berbanding Indonesia.
“Terkejutnya harga hotel terjangkau banget (berpatutan sangat). Kamar thematic yang kalau di Indonesia (harga) atas 1.5 juta (rupiah), kalau di KL masih dapat harga sekitar RM500 sahaja,” katanya.
Perkongsian tersebut turut memaparkan beberapa gambar keluarganya menikmati pemandangan sekitar Menara Berkembar Petronas dan taman permainan awam di tengah bandar Kuala Lumpur.
Wanita itu memaklumkan, sebelum ini dia pernah melancong ke Johor, Pulau Pinang dan Melaka serta tidak sabar untuk meneroka lebih banyak bandar lain di Malaysia selepas ini.
Di ruangan komen, ramai netizen bersetuju bahawa Kuala Lumpur kini menjadi pilihan keluarga dari negara jiran kerana menawarkan gabungan suasana moden, kemudahan awam mesra keluarga dan kos yang masih dianggap berpatutan.
“Waktu anak pertama diajak pertama kali keluar negerinya ke KL, nanti adiknya umur satu tahun sepertinya akan mengulang lagi. Naik e-hailing juga murah disana, makanannya enak-enak. Sebenarnya wisata di KL ala-ala kota aja sih cuma ntah kenapa lebih nyaman,” komen seorang pelancong Indonesia dikenali @audityodizi.
“Aku pernah kerja latihan enam bulan untuk keperluan kuliah di KL dulu. Emang menyenangkan itu KL, kemana-mana dekat, transportasi nyaman banget, orangnya baik-baik. Huu rindu mau kesana lagi. Semoga secepatnya bisa main ke KL bawa anak-anak,” komen seorang lagi pelancong Indonesia. – KOSMO! ONLINE














