SEPANG – Kos rawatan bagi melakukan pemindahan organ ekoran masalah Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati mampu mencecah antara RM300,000 hingga RM400,000.
Pengasas Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia, Marsilayuhaini Baharuddin berkata, kos besar itu boleh dicapai sekiranya pesakit berada pada tahap kritikal dan memerlukan rawatan dalam tempoh lama di unit rawatan rapi (ICU).
Katanya, antara kos tertinggi pernah ditanggung pihaknya melibatkan seorang bayi dengan berat sekitar 3.5 kilogram yang perlu dirawat hampir tiga bulan di ICU Hospital Renji selepas menjalani pembedahan
“Bagaimanapun, jika tiada komplikasi, kos keseluruhan prosedur itu hanya sekitar RM180,000 hingga RM200,000.
“Kos terbabit meliputi caj pembedahan di hospital selain perbelanjaan lain untuk berada selama lebih sebulan di Shanghai, China sepanjang tempoh rawatan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini baru-baru ini.
Katanya, sepanjang hampir 10 tahun perkhidmatan, pihaknya sudah membantu seramai 48 individu berusia antara sembilan bulan hingga 14 tahun untuk pemindahan hati.
“Daripada jumlah itu, 47 daripada mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Hanya seorang tidak berjaya selepas menjalani pembedahan pemindahan hati pada 2017 berikutan komplikasi pada organ baharu yang diterimanya,” katanya.
Jelas Marsilayuhaini, pihaknya memilih hospital di Shanghai untuk prosedur pembedahan susulan kejayaan berterusan pusat perubatan itu melaksanakan pemindahan hati.
Secara kebiasaan katanya, proses rawatan itu hanya memakan masa sekitar satu bulan sahaja berbanding dua ke tiga bulan semasa tahun sebelum Covid-19.
“Kami akan tanggung semua pembiayaan untuk kanak-kanak itu dan ibu bapa mereka sepanjang rawatan di sana.
“Biasanya, dana awam akan dikumpul selepas semua proses dokumentasi selesai dan akan ditutup selepas mencapai jumlah yang diperlukan untuk rawatan berkenaan,” katanya.
Ditanya mengenai pemilihan bantuan, beliau berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang syarat dan sesiapa sahaja boleh memohon untuk bantuan berkenaan.
“Sama ada mereka golongan B40 atau M40, semuanya kami bantu kerana mahu kanak-kanak yang menghidap kegagalan fungsi hati segera membuat pemindahan organ.
“Mana-mana yang ada anak seperti itu, ibu bapa perlu bertindak segera dan hubungi kami untuk bantuan atau pertanyaa,” katanya.
Katanya, ketika ini, kira-kira lima orang kanak-kanak juga dalam senarai mereka bagi mendapatkan rawatan pemindahan hati di China.
“Dua sudah hampir selesai proses dokumentasi dan akan terbang apabila kami menerima kelulusan etika daripada kerajaan China. Tiga lagi kanak-kanak akan kami berikan konsultasi segera,” katanya. -KOSMO! ONLINE














