PETALING JAYA – Paras air Sungai Penchala kini berada pada tahap amaran bahaya dan berpotensi meningkat sekiranya hujan terus berlarutan.
Menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sistem amaran banjir telah dibunyikan sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penduduk sekitar.
Katanya, Skuad Pantas MBPJ juga telah berada di lokasi bagi menjalankan pemantauan dan tindakan segera dari semasa ke semasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri sungai dan longkang besar berikutan arus deras selain sentiasa berwaspada ketika memandu dalam cuaca buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir hampir di seluruh negara termasuk Sarawak dan Sabah hingga pukul 6 petang ini. – KOSMO! ONLINE














