PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan diberkas polis Thailand selepas dipercayai cuba menyeludup lebih 100 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM5 juta di Hatyai, Thailand, awal bulan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan dalam operasi sekatan jalan raya sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan pada 5 Mei lalu.
Menurut beliau, pihak berkuasa Thailand menahan sebuah kereta Honda putih bernombor pendaftaran Malaysia selepas mendapati pemandunya berkelakuan mencurigakan ketika melalui sekatan di Hatyai.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa bungkusan disyaki methamphetamine atau syabu disorokkan di bahagian pembesar suara yang telah diubah suai di ruang but belakang kereta tersebut.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 102 kilogram,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengambil kenderaan itu di kawasan Surat Thani sebelum bergerak menuju ke sempadan Sadao-Danok bagi membawa masuk dadah berkenaan ke Malaysia melalui laluan darat.
Katanya, modus operandi digunakan dipercayai melibatkan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang menggunakan kenderaan persendirian untuk menyeludup bahan terlarang dari Thailand ke negara ini.
“Rampasan berskala besar ini menunjukkan kemungkinan wujud rangkaian sindiket yang tersusun dan aktif di kedua-dua negara,” ujarnya.
Tambah Hussein, pihak berkuasa Thailand kini mengetuai siasatan kes berkenaan namun kerjasama dengan pihak polis Malaysia akan diteruskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket terbabit.
Siasatan awal turut mendapati suspek memasuki Thailand melalui Kompleks Imigresen Danok di Sadao pada 2 Mei lalu.
Sementara itu, jurucakap keselamatan Thailand memaklumkan, sekatan jalan raya dijalankan di Asian Highway berhampiran persimpangan Khlong Wa sebelum kereta dipandu suspek ditahan untuk pemeriksaan.
Menurutnya, suspek mengaku ini merupakan kali kedua dia terbabit dalam cubaan menyeludup dadah selepas pernah melakukan kegiatan sama sebelum ini dan kini direman di Balai Polis Hat Yai bagi membantu siasatan lanjut bersama dadah serta kenderaan yang dirampas. – KOSMO! ONLINE














