KEMAMAN – Gara-gara sebuah kereta Perodua Myvi tiba-tiba keluar simpang, seorang pemandu lori yang menunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 158 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran lampu isyarat Geliga, di sini, semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 4.20 petang itu, mangsa, Zulkarnain Rawi, 51, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, sewaktu kejadian, Zulkarnain dikatakan dalam perjalanan ke Chendor, Kuantan, Pahang dari Chukai di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis KTM 250 Duke yang ditunggangi mangsa gagal mengelak lalu merempuh sebuah kereta Perodua Myvi dikatakan tiba-tiba keluar simpang kiri.
“Kereta terbabit dipandu seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun yang dikatakan baru pulang dari sebuah pusat dialisis berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, mayat pemandu lori itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut.
“Pemandu kereta Perodua Myvi pula mengalami luka pada tangannya dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di unit kecemasan hospital sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














