fbpx
Kebanyakan remaja yang melarikan diri dari rumah terjebak dengan masalah sosial. – GAMBAR HIASAN

Sehari 3 remaja lari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dalam tempoh tiga tahun sejak 1 Januari 2018 hingga 31 Januari tahun ini, secara purata seramai tiga remaja melarikan diri dari rumah setiap hari, antaranya berpunca daripada keinginan untuk hidup bebas dan mengikut pasangan kekasih.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Sistem Laporan Polis telah menerima 3,450 kes remaja melarikan diri dari rumah sepanjang tempoh itu dan kebanyakannya berusia antara 13 hingga 18 tahun.

Lebih mengejutkan apabila kira-kira 70 peratus atau 2,393 kes daripada jumlah tersebut membabitkan remaja perempuan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sebanyak 1,719 daripada 3,450 kes remaja lari dari rumah disebabkan mahu hidup bebas daripada kongkongan keluarga atau penjaga.

Menurutnya, sebanyak 895 kes lagi melibatkan remaja lari ikut kekasih serta kawan-kawan dan bakinya melibatkan pelbagai punca termasuk menjadi mangsa penderaan keluarga, ingin mencari pekerjaan dan enggan tinggal bersama ibu atau bapa tiri.

“Remaja perempuan adalah individu yang paling ramai dilaporkan terlibat dalam gejala lari dari rumah iaitu 70 peratus atau 2,393 kes, manakala remaja lelaki sebanyak 1,057 kes,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! Ahad.

Siti Kamsiah memberitahu, berdasarkan pecahan mengikut negeri, Selangor mencatatkan jumlah yang paling tinggi dengan 530 kes dan diikuti Johor (464) serta Sabah (447).

Katanya, negeri yang paling rendah kes remaja lari dari rumah ialah Perlis sebanyak 62 kes dan Melaka (58).

“Bagaimanapun, daripada jumlah keseluruhan 3,450 kes yang dilaporkan, 3,360 orang sudah ditemui, manakala 90 kes yang lain masih berstatus hilang,” ujarnya.

Siti Kamsiah berkata, pelbagai usaha dilakukan PDRM bagi mengatasi isu itu seperti mewujudkan Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-Kanak di bawah umur 12 tahun yang dikenali sebagai Nur Alert yang dilancarkan pada 2007.

“Menerusi sistem ini, PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan dapat mengumpul maklumat serta membantu mengenal pasti mangsa yang hilang.

“Sistem ini juga dapat membantu dalam mempercepatkan usaha mengesan mangsa yang hilang. Maklumat juga boleh disa­lurkan melalui portal kanak-kanak hilang di laman web rasmi PDRM,” ujarnya.

Menurutnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan gejala remaja lari dari rumah dapat ditangani kerana mereka adalah individu paling dekat dengan anak-anak.

“Ibu bapa harus sentiasa peka terhadap keadaan mental, fizikal dan persekitaran anak-anak mereka sejak awal lagi kerana cabaran di dunia alaf baharu ini amat mencabar.

“Tahap kepatuhan dan disip­lin anak-anak pada zaman dahulu amat berbeza berbanding sekarang kerana mereka kini berada dalam dunia serba moden, segalanya berada di hujung jari dan sentiasa terdedah dengan pelbagai perkara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN