PETALING JAYA – “Hari ini, daddy (ayah) sendiri menurunkan Ayasofya ke tempat peristirahatan terakhirnya.”
Demikian luahan pilu seorang bapa, Hafizul Hakim yang memaklumkan pemergian anak bongsunya, Ayasofya selepas bayi perempuan itu menghembuskan nafas terakhir pada usia empat bulan hari ini.
Menurut Hafizul, kehilangan tersebut amat sukar diterima apatah lagi Ayasofya merupakan cahaya mata yang dinanti-nantikan selama 11 tahun oleh dia dan isteri, Aliffa Rafini Abdullah.
Katanya, anak kecil itu kembali ke rahmatullah selepas melalui tempoh 72 jam yang sangat kritikal di unit rawatan rapi kanak-kanak (PAED ICU).
“Beratnya tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Anak kecil yang kami tunggu selama 11 tahun, kini kembali kepada Pencipta-Nya.
“Kami percaya, Aya hanyalah pinjaman terindah daripada Allah SWT. Hari ini, dengan penuh cinta dan reda, kami pulangkan dia kembali kepada-Nya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Hafizul menceritakan saat-saat terakhir Ayasofya yang menghembuskan nafas adalah ketika berada dalam dakapan ibunya sambil dikelilingi ketiga-tiga abangnya.
Tambah Hafizul, melihat denyutan jantung anaknya semakin lemah dan kadar oksigen yang terus menurun menjadi antara momen paling menghancurkan buat mereka sekeluarga.
Dalam pada itu, Hafizul turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus mengirimkan doa, kasih sayang dan sokongan sepanjang mereka berdepan ujian tersebut.
“Doakan agar Ayasofya ditempatkan dalam kalangan anak-anak syurga dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kami sekeluarga untuk melalui kehilangan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE













