TIGA tahun lalu, Emma MacTaggart, 26, menyedari bahawa kehidupan sehariannya begitu sibuk, dan dia hampir tiada masa terluang untuk diri sendiri.
Kerjaya dalam bidang perbankan menyebabkan dia banyak menghabiskan masa di hadapan skrin komputer.
Menurut anak muda kelahiran New York, Amerika Syarikat (AS) itu, sebaik sahaja waktu kerjanya habis, dia akan pulang ke rumah dan menghabiskan masa dengan telefon pintarnya.
Bagaimanapun, dia dan teman serumahnya mula mencari satu hobi yang dapat mengganti tabiat itu.
MacTaggart kemudiannya menjadi ketagih dengan seni sulaman needlepoint iaitu kemahiran yang pernah dipelajarinya secara ringkas daripada saudara-mara ketika kecil, namun sudah lama ditinggalkan.
Sulaman itu menggunakan kanvas needlepoint iaitu kain atau permukaan khas yang terbuka dan keras.
Biasanya, ia diperbuat daripada bahan berjaring seperti kapas yang mempunyai lubang-lubang kecil dan sekata supaya benang mudah disulam menggunakan jarum.
Aktiviti itu dibuat dengan cara menjahit benang berwarna pada kanvas mengikut corak tertentu untuk menghasilkan gambar, tulisan, motif bunga, kartun atau rekaan dekoratif.
Berbeza dengan sulaman biasa yang dilakukan di atas kain lembut seperti kapas atau linen, kain needlepoint bersifat lebih tebal dan teksturnya menyerupai permaidani.
Biasanya, kanvas needlepoint digunakan untuk barang hiasan seperti bantal, beg tangan dan upholsteri.
Sejak mengenali hobi menarik itu, MacTaggart tidak lagi menoleh ke belakang.
“Ia seperti terapi untuk mengalihkan perhatian daripada tekanan kerja atau stres, selain memberi peluang melakukan sesuatu menggunakan tangan sendiri berbanding terus doomscrolling di media sosial.
“Kami jadi terlalu obses dengannya ketika ini,” ujarnya.

MacTaggart merupakan antara generasi muda yang kini kembali kepada hobi lama sebagai satu cara untuk ‘melarikan diri’ daripada teknologi sambil menghidupkan semula kreativiti serta rasa ingin mencuba seperti zaman kanak-kanaknya.
Minat terhadap hobi seperti itu mula berkembang sekitar tahun 2020 ketika pandemik Covid-19 hingga menyebabkan ramai orang mempunyai banyak masa lapang.
Ternyata, needlepoint yang sering digelar sebagai ‘hobi nenek’ masih relevan dan semakin mendapat perhatian generasi muda.
Kini, hobi needlepoint menjadi kerjaya buat MacTaggart yang mengasaskan jenama What’s The Stitch pada 2024 yang menjual kanvas needlepoint menarik dan dipenuhi unsur humor.
“Ia sebenarnya seni kraf yang sangat klasik dan formal, jadi saya rasa seronok apabila dapat memberikan sentuhan ‘anak muda’ yang lebih segar padanya,” ujarnya.
Menariknya, MacTaggart menjual kanvas pelbagai rekaan dan saiz menerusi laman web, What’s The Stitch.
Selain kanvas, MacTaggart menjual benang, aksesori tambahan dan produk siap seperti sarung bantal.
Harga bagi produknya adalah antara AS$5 (RM19) hingga AS$98 (RM384).
“Ramai yang menyukai rekaan-rekaan saya, maka dari situ lahirnya jenama What’s The Stitch,” katanya.
Dia juga sering berkongsi video tutorial menghasilkan seni needlepoint menerusi Instagram.
MacTaggart juga memberitahu, dia sama sekali tidak menyangka akan menyukai aktiviti tersebut sehingga kini.
“Saya tak sangka, saya amat sukakan aktiviti needlepoint ini.
“Apa yang saya hasilkan juga merupakan sesuatu yang sudah lama saya inginkan.
“Namun, ia tidak pernah nampak dijual di pasaran,” katanya.














