SKUAD sepak takraw negara kini diletakkan dalam fasa persiapan tertinggi selepas musuh tradisi, Thailand mempertaruhkan ‘skuad gergasi’ bagi menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2026, hujung minggu ini.
Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun melabelkan senarai pemain yang dipertaruhkan skuad Gajah Perang itu sebagai pasukan ‘Kelas A’ memandangkan mereka membariskan hampir keseluruhan pemain yang pernah beraksi di Sukan SEA dan juara kejohanan utama.
Melihat kepada senarai lima tekong yang dibawa Thailand, Ahmad Jais mendedahkan skuad lawan benar-benar serius untuk merampas kejuaraan apabila menyenaraikan nama besar seperti Jakkrit Thinbangbon, Kritsada Sungvung, Sittipong Khamchan, Kritsanapong Nontakote serta tekong kidal berbisa, Pornthep Tinbangbon.
“Thailand menurunkan tiga pemain Sukan SEA untuk posisi tekong. Malah, Pornthep merupakan juara baharu Princess Cup selepas menewaskan Sittipong di final. Ini membuktikan mereka sangat serius untuk mempertahankan acara berpasukan selain mencabar regu dan kuadran.
“Tak boleh pandang rendah, kerana ini adalah barisan skuad terbaik yang mereka miliki ketika ini,” katanya Ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menyedari ancaman Pornthep yang kini dianggap tekong No. 1 satu Thailand, Ahmad Jais telah mengatur strategi khusus dengan mengarahkan tekong utama negara, Syahir Rosdi menjalani latihan intensif menentang tekong kidal Malaysia.
“Oleh kerana Pornthep adalah tekong kidal seperti Haziq (Hairul Nizam), kita fokuskan Syahir untuk lebih banyak melakukan sparring ke arah itu. Ini penting supaya dia tidak rasa kekok apabila berdepan tekong kiri di dalam gelanggang nanti terutama acara regu,” jelasnya.
Selain posisi tekong, Thailand membariskan pemain posisi killer berpengalaman termasuk Phutawan Sopa, Jirasak Pakbuangoen, Tanaphon Sapyen dan Pichet Pansan.
Ahmad Jais turut menjangkakan Thailand akan menggunakan elemen ‘psikologi’ dengan menurunkan gandingan yang jarang ditemui oleh pemain negara bagi menyukarkan analisis prestasi dilakukan.
“Kebiasaannya jika regu mereka sudah pernah kalah kepada Malaysia, mereka akan menukar gandingan baharu. Jadi, Syahir dan Pornthep masing-masing belum pernah bertemu, ini akan mencetuskan cabaran berbeza,”
“Saya harap pemain negara kekal tenang dan gunakan pengalaman lalu untuk mencipta kejutan di laman sendiri” tambahnya.














