CAMERON HIGHLANDS – Seorang lelaki bertindak ganas apabila dipercayai melibas seorang individu menggunakan sebilah pedang dalam kejadian di sebuah tokong di daerah ini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, suspek berusia 39 tahun itu berjaya diberkas polis sejurus selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 31 tahun sedang mengadakan upacara keagamaan bersama beberapa rakannya di rumah ibadat tersebut.
Tambahnya, suspek secara tiba-tiba datang ke pekarangan tokong berkenaan dalam keadaan membuat bising serta mengganggu pengunjung yang berada di lokasi.
“Apabila diminta beredar, suspek dipercayai berang sebelum mengambil sebilah pedang yang berada di tokong tersebut lalu melibas ke arah mangsa.
“Mangsa yang cuba menahan tindakan suspek mengalami kecederaan pada bahagian tangan, dahi serta badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini untuk rawatan awal dan kemudian dirujuk ke Hospital Fatimah, Ipoh, bagi rawatan lanjut,”katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau termasuk berkaitan kesalahan dadah dan dia direman selama empat hari sehingga Khamis ini. – KOSMO! ONLINE














