PETALING JAYA – Perdana Menteri menzahirkan ucapan Selamat Hari Jururawat Sedunia dan menyifatkan kerjaya itu sebagai tonggak penting dalam sistem kesihatan negara terutamanya dalam membantu doktor memberikan rawatan terbaik.
Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak kita lahir ke dunia, antara yang terawal menyambut dan menjaga kita adalah para jururawat.
Malah katanya, jururawat jugalah yang ada tatkala ibu menahan sakit melahirkan kita, ada mendengar tangisan pertama kita, menjaga ketika kita diuji sakit, dan terus setia berkhidmat menjaga hingga ke penghujung usia kita.
“Hampir setiap daripada kita pernah merasai sentuhan ihsan seorang jururawat.
“Menenangkan pesakit yang menahan derita, memujuk anak kecil yang ketakutan, memberi kekuatan kepada keluarga yang cemas dan menjadi insan yang paling dekat memahami keadaan pesakit,” kata Perdana Menteri pada hantaranya di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, jururawat adalah kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa dan ketulusan hati yang luar biasa.
“Besarnya jasa jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat besar nilainya buat rakyat dan negara.
“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














