PETALING JAYA – Seorang pemuda dari Malaysia terkejut didatangi seorang lelaki sewaktu berkunjung ke sebuah masjid di Kazakhstan, semata-mata untuk memintanya memperbetulkan bacaan surah al-Fatihah.
Lelaki Kazakhstan itu berbuat demikian dipercayai selepas mengetahui pemuda itu berasal dari Malaysia yang disifatkannya sebagai sebuah negara dengan identiti Islam yang kuat.
Pengalaman itu dikongsikan oleh pengguna TikTok Amiru Abbedu dan dia turut memuat naik video membaca surah al-Fatihah kepada lelaki yang meminta bantuan daripadanya.
“Buat pertama kali dalam hidup, ada seseorang datang kepada saya untuk membetulkan bacaan al-Fatihah. Dia datang kepada saya dan minta betulkan bacaan al-Fatihahnya kerana dia tahu saya berasal dari Malaysia.
“Malaysia dikenali sebagai sebuah negara mempunyai identiti Islam yang kuat. Alhamdulillah,” menurut kapsyen video pemuda berasal dari Kelantan itu.
Video itu mendapat pelbagai maklum balas dan ramai yang mendoakan Amir Abbedu dan lelaki tersebut.
“Alhamdulillah, pahala akan mengalir untuknya setiap kali saudara melafaz al-Fatihah,” komen pengguna TikTok Chemid.
“Pahala mengalir setiap kali dia baca al-Fatihah yang dia dah betulkan. Subhanallah,” kata Fshima.
“Masya-Allah, alhamdulillah semoga teruskan belajar,” komen Zeela Yong. – KOSMO! ONLINE
@amiru.abbedu May Allah bless this guy for his effort. #travel #solo #deen #islam ♬ original sound – amiru














