SIK – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang bayi lelaki, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Amiruddin Mohamed Radzi, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu lori di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian penumpang sebuah kereta iaitu bayi lelaki berusia lima bulan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di simpang Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim–Baling–Gerik, Baling dekat sini pada pukul 10.30 malam, 7 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Jamal, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin.
Terdahulu, pada prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Intan Nursyafina bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,700 sebulan selain menanggung isteri, tiga anak serta ibu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin serta menetapkan syarat seorang daripada penjamin bukan ahli keluarga. Mahkamah turut menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














