KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sehingga RM15 bilion tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program membantu rakyat termasuk usaha membasmi kemiskinan tegar tanpa mengira kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu melibatkan semua rakyat merentasi kaum menerusi pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.
Menurutnya, pendekatan kerajaan Madani tidak bersifat perkauman sebaliknya memberi fokus kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Bila kita sebut kemiskinan tegar, semua rakyat tanpa kecuali mesti dibebaskan daripada belenggu kemiskinan. Pendekatan kita bukan berdasarkan kaum semata-mata.
“Bagi rakyat yang miskin tegar kita bantu semua tanpa kecuali,” katanya ketika pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap masyarakat India yang masih berada dalam kelompok miskin dan terpinggir termasuk di kawasan estet.
Katanya, bantuan kepada masyarakat India bukan hanya disalurkan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), malah turut melibatkan kementerian lain menerusi program pembangunan dan kebajikan rakyat.
Anwar berkata, terdapat pihak tertentu yang mendakwa kerajaan tidak membantu masyarakat India, namun dakwaan tersebut tidak benar kerana pelbagai bantuan telah disalurkan sejak kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran negara.
Menurut beliau, prestasi baik Mitra turut mendorong kerajaan meningkatkan peruntukan agensi itu daripada RM100 juta kepada RM150 juta bermula tahun ini.
“Saya tak katakan kita lakukan semua yang terbaik kerana kita masih boleh perbaiki, tetapi untuk menyatakan tidak ada bantuan itu tidak benar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














