fbpx
Sebanyak 4.7 kilogram bunga ganja yang dijumpai di bahagian but belakang kereta jenis Mercedes Benz S500L di pangkalan haram Simpangan, Tumpat semalam. FOTO IHSAN PGA

Dua wanita, lelaki Jordan kempunan upah RM1,800 bawa 6 kg ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Hajat seorang wanita berketurunan Bajau bersama dua rakannya termasuk seorang lelaki warga Jordan untuk meraih upah sebanyak RM1,800 hasil pertama kali melakukan kegiatan membawa enam kilogram dadah jenis bunga ganja ke ibu negara tidak kesampaian apabila mereka dicekup di pangkalan haram Simpangan di sini semalam.

Wanita berusia 35 tahun bersama rakannya berusia 51 tahun yang berketurunan Iban dan seorang lelaki Jordan itu ditahan kira-kira 4.30 petang semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan di kawasan tersebut.

Komander PGA Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa pemerhatian dijalankan, anggota PGA mendapati sebuah kereta jenis Mercedes Benz S500L berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram itu.

Menurutnya, salah seorang suspek didapati mengambil bungkusan plastik di tepi sungai sebelum meletakkannya di bahagian bonet depan kereta tersebut.

“Anggota PGA terus menyerbu kawasan tersebut sebelum menjumpai plastik lutsinar berisi ketulan daun kering seberat 1.3 kilogram disyaki bunga ganja di bahagian depan kiri kereta itu.

“Pemeriksaan pada ruang but belakang kereta itu membawa kepada penemuan empat plastik lutsinar mengandungi ketulan daun kering disyaki bunga ganja seberat 4.7 kilogram dengan anggaran nilai kesemua dadah tersebut sebanyak RM480,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat mendapati, ketiga-tiga suspek mengaku kesemua dadah itu milik mereka dan baru pertama kali mengambil barangan tersebut di pangkalan haram berkenaan.

Menurutnya, suspek wanita yang berketurunan Bajau mengaku bertindak sebagai orang tengah kepada dua suspek lain untuk menghubungkan mereka dengan pengedar dari Sungai Golok, Thailand yang dikenali sebagai Abe sebelum dadah tersebut dibawa ke Kuala Lumpur.

“Upah sebanyak RM1,800 atau RM300 bagi setiap kilogram dadah akan dibayar melalui suspek wanita itu selepas kesemua dadah tersebut dihantar kepada seorang lelaki dikenali sebagai Lee di Kuala Lumpur.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kereta jenis Mercedes Benz S500L yang dinaiki ketiga-tiga suspek dianggarkan bernilai RM630,100,” ujarnya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN