PETALING JAYA – Seorang wanita tidak dapat menahan sebak apabila kebaikan kecil yang pernah dilakukannya dibalas dengan cara yang paling tidak disangka-sangka oleh seorang petugas pembersihan di tempat kerjanya, baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @angelinaaksjean, dia memuat naik gambar menunjukkan sebiji telur yang dibalut dengan tisu, pemberian daripada seorang petugas pembersihan di pejabatnya.
“Abang cleaner (petugas pembersihan) bagi telur rebus sebab pernah belanja dia. Tak pernah seumur hidup makan telur sambil nangis, susah betul sejenis hati tisu ini,” katanya.
Meskipun hanya menerima sebiji telur rebus, pemberian itu nyata cukup bermakna sehingga menyentuh hati wanita berkenaan kerana menyedari keikhlasan di sebalik sekecil-kecil pemberian tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut merasa sebak dengan perkongsian berkenaan yang dianggap sebagai sebuah keikhlasan seseorang yang ingin membalas budi.
“Walaupun pada kita telur sahaja, mungkin itu bekal makanan yang cukup protein dan bernilai bagi dia,” kata pengguna @syahzu8998.
“Baiknya hati dia. Nak juga belanja benda yang kenyang dan sihat,” kata pula pengguna @wawanasywalahh.
“Nak bagitahu ini yang saya pun hati tisu sebab sambil baca hantaran ini sambil saya nangis,” ujar pengguna @ika_lincon22. – KOSMO! ONLINE














