fbpx
Gambar hiasan.

Dua warga asing ditahan selepas kereta terbabas dikejar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dua warga asing berjaya ditahan selepas terlibat dalam insiden mengejar dengan kenderaan peronda (MPV) polis di Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi.

Menurutnya, kejadian bermula apabila sebuah kereta jenis Honda City cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum dipandu secara berbahaya menghala ke Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

“Kereta tersebut kemudian memasuki susur masuk ke Kuala Lumpur dan terbabas serta melanggar papan tanda jalan di pusingan U Jalan Johar bersebelahan Pavilion Damansara Heights sebelum ditahan pihak polis di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit merupakan lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an manakala seorang lagi suspek ialah wanita warga asing berusia lingkungan 20-an.

Katanya, seorang lagi suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama seorang lelaki warga tempatan dan tiada rekod kenderaan hilang,” ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama sehari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN