SHAH ALAM – Taktik licik dua sindiket antarabangsa menggunakan ‘keldai dadah’ membawa keluar bunga ganja bernilai RM12.6 juta ke Eropah berjaya dipatahkan dalam tiga siri serbuan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, baru-baru ini.
Serbuan antara 28 dan 30 April lalu itu membawa kepada penahanan tujuh warga asing terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 27 tahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejayaan itu hasil risikan rapi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, KLIA dan Sepang bersama Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang mengesan taktik sindiket menggunakan warga asing sebagai penghantar dadah bagi mengaburi pemeriksaan di pintu keluar negara.
Menurutnya, setiap keldai dadah memperoleh upah lumayan dalam mata wang asing bagi setiap penghantaran.
“Antara upah yang diberikan ialah
5,000 pound sterling (RM30,000) dan antara 3,000 euro (RM15,000) hingga (RM26,000).
“Kesemua suspek dipercayai menggunakan pas lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti pengedaran dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan selepas polis bantuan MAHB mengesan empat bagasi mencurigakan di mesin imbasan di KLIA dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita di sekitar terminal itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 67.2 kilogram (kg) dan dianggarkan RM5.4 juta.
“Turut disita, wang tunai pelbagai mata wang trmasuk asing dan seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai RM80,000,” jelasnya.
Beliau berkata, pemeriksaan seterusnya
mengesan dua lagi bagasi mencurigakan mengandungi 59 bungkusan plastik dadah jenis sama dengan anggaran berat 29.5 kg dan nilai rampasan kira-kira RM2.4 juta selain menahan seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun di KLIA pada 30 April lalu.
Tambahnya, siasatan kemudiannya kepada membawa serbuan ketiga di sebuah premis di Kota Warisan, Sepang yang menahan dua lagi lelaki serta merampas empat bagasi mengandungi 109 bungkusan bunga ganja seberat 60 kg bernilai RM4.8 juta.
“Siasatan mendapati dua sindiket berbeza itu dipercayai menyeludup keluar dadah dari negara ini ke sebuah negara di Eropah.
“Semakan mendapati kesemua suspek tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














