JOHOR BAHRU – Pembangunan projek Coronation Square bakal menjadi pemangkin utama kepada transformasi struktur ekonomi Johor dengan menjana pendapatan bernilai lebih RM9 bilion.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembangunan ikonik itu bukan sahaja bakal mengubah landskap bandar raya Johor Bahru, malah dijangka menawarkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
“Projek Coronation Square memainkan tiga peranan penting iaitu merancakkan semula pusat bandar raya, memperkukuh ketersambungan awam merentas sempadan serta memberi impak ekonomi inklusif kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Coronation Square di sini hari ini.
Turut hadir ialah Konsul Jeneral Singapura di Johor, Ng Kuan Khai dan Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Menurut Onn Hafiz, kedudukan Coronation Square yang strategik berhampiran kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) di Bukit Chagar menarik minat kehadiran pengembara dari Singapura.
Tambahnya, laluan RTS yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun ini itu bakal meningkatkan mobiliti merentas sempadan antara Johor dan Singapura dengan lebih efisien.
“Tahap ketersambungan ini kritikal dalam membina Johor Bahru sebagai sebuah bandar raya pintar dan cekap, sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat menerusi pergerakan bakat serta perniagaan yang lebih lancar,” jelasnya.
“Kita menghargai rakan sektor swasta yang memahami dan menyokong visi ini. Pelaburan dalam komuniti adalah langkah bijak yang akan membawa pulangan besar untuk tempoh jangka panjang,” ujarnya.
Selain itu, Pengarah Urusan Coronade Properties Sdn. Bhd., Datuk Patrick Lim berkata, majlis pecah tanah tersebut menandakan fasa seterusnya dalam visi syarikat untuk membentuk Johor Bahru sebagai pusat bandar raya yang bervibrasi dan terhubung.
Beliau menjelaskan, Coronation Square direka dengan konsep ‘bandar dalam bandar’ yang mengintegrasikan infrastruktur, perniagaan dan komuniti dalam satu pembangunan bersepadu.
“Melalui Fasa 2 yang melibatkan pembinaan Coronation Square Mall, kami bukan sekadar membina ruang perniagaan, sebaliknya mencipta satu ekosistem yang menyokong perniagaan dan menyediakan peluang kerja. Ia sekali gus memenuhi keperluan harian masyarakat setempat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














