MELATIH anak kecil menggunakan tandas (toilet training) memerlukan kesabaran dan pendekatan yang konsisten. Kebiasaannya, anak-anak berumur 18 bulan hingga tiga tahun sudah boleh dilatih menggunakan tandas.
Oleh itu, ibu bapa perlu perhatikan tanda-tanda anak sudah bersedia menggunakan tandas.
Sepanjang latihan itu, ibu bapa perlu menggunakan pelbagai pendekatan seperti penggunaan alatan sokongan, galakan serta ganjaran kecil supaya anak-anak terus bersemangat belajar menggunakan tandas, sekali gus menjadi rutin tetap.
Sehubungan itu, pada minggu ini, K-Wanita kongsikan lima tip mudah untuk ibu bapa melatih anak-anak menggunakan tandas.
Kenal pasti tanda anak sudah bersedia
KEBANYAKAN kanak-kanak boleh mula dilatih menggunakan tandas sekitar umur 18 bulan hingga 3 tahun, malah ada anak yang boleh belajar seawal 18 hingga 24 bulan. Walaupun begitu, umur bukan penentu utama, yang lebih penting adalah tanda kesediaan anak.
Antara tanda anak sudah bersedia adalah lampin kekal kering selama dua hingga tiga jam. Ini menunjukkan minat ke tandas atau meniru orang dewasa.
Selain itu, anak juga boleh memberitahu bila mahu kencing atau membuang air besar, serta tidak selesa apabila lampin basah dan kotor.
Jika anak belum menunjukkan tanda-tanda ini, tidak perlu paksa. Tunggu sehingga mereka lebih bersedia supaya proses latihan jadi mudah dan kurang tekanan kepada anak dan ibu bapa.
Perkenalkan rutin yang tetap
BAGI anak-anak di awal usia, mereka belajar daripada contoh yang kita tunjukan. Oleh itu, untuk memudahkan mereka faham akan penggunaan tandas, maka ibu bapa perlu memperkenalkan rutin yang tetap supaya ia melekat dan menjadi tabiat dalam diri anak-anak.
Sebagai contoh, bawa anak ke tandas pada waktu tertentu seperti selepas makan, setelah bangun tidur atau sebelum tidur. Rutin yang konsisten membantu anak memahami masa yang sesuai untuk ke tandas.
Guna alat yang sesuai
IBU bapa perlu membuatkan anak-anak berasa seronok menggunakan tandas dan cara terbaik adalah dengan menarik perhatian mereka seperti potty atau tempat duduk tandas khas kanak-kanak.
Penggunaan peralatan seperti ini membuatkan mereka berasa selesa dan selamat.
Langkah ini juga membantu mereka lebih yakin untuk mencuba sendiri. Selain itu, anda boleh menggunakan mainan berasaskan penjagaan diri dan terangkan kepentingan menggunakan tandas menerusi permainan tersebut.
Cara ini membuatkan anak-anak semakin bersemangat dan tidak sabar menggunakan tandas.
Beri galakan dan pujian
DALAM fasa tumbesaran anak-anak, mereka sangat memerlukan sokongan dan panduan daripada ibu bapa atau penjaga. Begitu juga dalam hal berkaitan penggunaan tandas di peringkat awal usia.
Oleh itu, bagi menggalakkan anak-anak menjadikan tabiat menggunakan tandas, anda perlu sentiasa memberi pujian atau ganjaran kecil. Ini akan meningkatkan keyakinan dan motivasi mereka untuk terus mencuba.
Elakkan memarahi atau memaksa
SETIAP anak mempunyai kelebihan dan kelemahan, maka jangan cepat memarahi anak jika mereka melakukan kesilapan atau lambat belajar. Sebaiknya, terangkan dengan lembut dan teruskan latihan. Tekanan boleh membuatkan anak takut dan melambatkan proses pembelajaran.
Latihan penggunaan tandas mengambil masa dan memerlukan kesabaran tinggi. Jadi, kekal positif kerana tabiat ini tidak boleh dikuasai dalam masa sehari. Jika dilakukan secara konsisten, anak akan lebih cepat berdikari menggunakan tandas.














