fbpx
SAARANI (tengah) merasmikan Persidangan Dasar dan Penyelidikan Perak 2026 di Ipoh hari ini.

Perak mahu pendekatan jujur dalam ekonomi, rakyat rasai kekayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Perak mahu rakyatnya benar-benar merasai limpah kekayaan ekonomi negeri itu setelah berjaya mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata beliau tidak mahu data dan angka semata-mata memperkemaskan laporan ekonomi berbanding benar-benar mengubah kehidupan rakyat.

“Hari ini kita sering bercakap tentang angka pertumbuhan, angka pelaburan dan angka pencapaian ekonomi. Semua itu penting. Kita tidak boleh menafikannya.

“Tetapi pada akhirnya, kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat tidak hidup dalam angka. Mereka hidup dalam realiti harian. Mereka merasai harga barang di pasar. Mereka memikirkan masa depan anak-anak,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Dasar dan Penyelidikan Perak 2026 di sini hari ini.

Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak setakat 2024 adalah sebanyak RM86.2 bilion serta mencatatkan hasil tahunan lebih RM1 bilion.

Mengenai persidangan yang dihadirinya, Saarani berkata anjuran itu penting untuk memastikan Perak bergerak dengan sasaran pembangunan dan keputusan dasar yang tidak tersasar.

Katanya, beliau dimaklumkan sebanyak 323 cadangan kajian serta penyelidikan daripada golongan pemikir, ahli akademik dan profesional diterima bagi membantu memperkukuh pembangunan dasar kerajaan negeri.

“Nilai sebenar persidangan ini bukan pada aturan dan pengisian acaranya. Tetapi terletak kepada apa yang kita bawa keluar dari dewan ini nanti dan dapat diterjemahkan menjadi tindakan bermakna kepada rakyat.

“Sebab itu kerajaan negeri Perak memilih untuk membawa satu pendekatan yang lebih jujur dan lebih berpijak di bumi nyata, melalui tema hasil dirasai, keyakinan dibina,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN