fbpx
Tangkap layar beberapa video tular keadaan di Lebuh Raya Kesas dimuat naik pengguna media sosial.

[VIDEO] Banyak kereta ‘tersadai’ di Lebuh Raya Kesas petang tadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tular di media sosial beberapa rakaman memaparkan keadaan lalu lintas di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) berhampiran Persimpangan Awan Besar yang dilanda banjir kilat petang tadi sehingga menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

Menerusi video tular dimuat naik pengguna, air kelihatan naik begitu cepat sehingga menenggelamkan separuh kereta.

Kelihatan dalam rakaman video berkenaan, beberapa kenderaan telah pun ‘terperangkap’, manakala kereta dan motosikal lain tersadai di bahu lebuh raya bagi mengelakkan air memasuki enjin dan ruang dalam.

Banjir kilat yang berlaku pada pukul 4.46 petang tadi juga mengakibatkan semua lorong arah timur terhalang dan kesesakan trafik sejauh kira-kira empat kilometer.

Bukan itu sahaja, banjir kilat tersebut turut memberi kesan kepada aliran trafik di sekitar Lebuh Raya Persekutuan di kedua-dua arah apabila kenderaan dilaporkan bergerak perlahan susulan peningkatan jumlah trafik petang tadi.

Bagaimanapun, banjir kilat tersebut difahamkan telah surut dan kenderaan kini boleh melalui laluan berkenaan secara berperingkat.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang meluahkan kebimbangan dan simpati terhadap pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat tersebut.

Seorang pengguna media sosial mendakwa, kawasan berkenaan sememangnya kerap berlaku banjir, manakala seorang lagi berpendapat kemungkinan sistem perparitan tersumbat dan sampah sarap menjadi antara punca air naik dengan cepat ketika hujan lebat.

“Ni rasanya perparitan tersumbat ni. Sebab tadi lalu memang banyak sampah naik atas lebuh raya,” komen Ali.

“Sebaiklah hari ni Emergency Leave (EL), terlepas nak lalu jalan ni. Kalau tak, inilah laluan setiap hari,” komen Arif pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN