fbpx
Rosida tetap setia menguruskan suaminya, Syed Rezuan yang terlantar di atas katil ketika ditemui di rumah mereka di Tapah baru-baru ini.

Kasih isteri sampai akhir hayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Niat seorang warga emas untuk menikmati kehidupan yang lebih tenang selepas suaminya bersara sebagai pengawal keselamatan di Petaling Jaya, Selangor ‘terbantut’ apabila lelaki itu diuji masalah kesihatan dengan menghidap dementia.

Rosida Abdullah Sani, 61, berkata, suaminya, Syed Rezuan Syed Husin, 70, disahkan menghidap dementia sejak tiga tahun lalu yang menyebabkannya tidak mampu mengurus diri selain diuji terjatuh sehingga kaki kirinya patah.

“Sejak tidak bekerja, suami ada mengusahakan kebun pisang di tanah pusaka keluarga, namun sejak menghidap penyakit dementia, dia sering terjatuh menyebabkan hanya terlantar di katil serta tidak mampu mengurus dirinya sendiri. Percakapannya juga sukar difahami.

“Semua urusan dirinya termasuk mandi, memakai pakaian, makan dan minum diuruskan oleh saya dan seorang lagi anak yang terpaksa bekerja sendiri dengan menjual burger.

“Kebanyakan masa suami hanya terlantar di atas tilam,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Mas, Chenderiang, Tapah semalam.

Katanya, wang simpanan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suaminya juga semakin susut untuk membeli barangan keperluannya seperti lampin pakai buang dewasa, makanan dan minuman.

Selain itu, wang simpanan itu juga digunakan untuk kos pengangkutan ketika menjalani pemeriksaan kesihatan berkala setiap bulan di hospital dan klinik kerajaan.

“Saya hanya menjual kuih-muih secara kecil-kecilan dengan pendapatan sekitar RM50 sehari dan tidak mempunyai sebarang simpanan KWSP kerana sebelum ini hanya seorang suri rumah.

“Anak-anak seramai enam orang ada juga membantu me­ringankan beban kewangan kami suami isteri .

“Namun, mereka ada komitmen masing-masing jadi tidak ingin menyusahkan,” katanya.

Tambah beliau, permohonannya untuk mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih dalam proses.

“Saya ada menerima bantuan sebuah katil hospital baharu daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng yang sangat membantu dalam menguruskan suami selain pernah memberikan keluarga kami berupa bantuan kotak makanan dan keperluan asas.

“Shin Heng turut membantu menukar atap baharu kediaman kami yang telah rosak. Selain itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pernah memberi beras lima kilogram (kg),” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) BSN 08700-29-00001094-4 atas nama Rosidah Abdullah Sani atau menghubunginya di talian 012-5013 437.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN