PUTRAJAYA – Siasatan terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas pembantunya, James Chai kini di peringkat akhir apabila hanya dua lagi saksi belum dirakam percakapan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Tan Sri Azam Baki berkata, seorang daripada saksi terbabit berada di Taiwan manakala seorang lagi dalam negara.
Menurut beliau, kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja rakaman percakapan terakhir selesai diperoleh.
“Siasatan ini hampir ke penghujungnya dan hanya tinggal dua lagi saksi untuk dirakam percakapan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan Rafizi hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK berkaitan kerjasama strategik industri semikonduktor.
Rakaman percakapan tersebut berlangsung hampir sembilan jam bermula kira-kira pukul 10 pagi. – KOSMO! ONLINE














