SHAH ALAM – Senada biarpun berbeza nakhoda, gitaris legenda JoBranko bersetuju apabila Datuk Awie menamakan rakan seperjuangan, Datuk Amy sebagai Raja Rock Negara.
Bagaimanapun, JoBranko atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 57, berkata, bukan Amy seorang yang namanya perlu diangkat, sebaliknya, kesemua jenama kumpulan Search yang bertungkus lumus meletakkan muzik rock negara pada tahap sekarang.
“Bukan Amy sahaja tau. Kumpulan Search itu merupakan band rock pertama di Malaysia. Bagaimanapun, sebagai penyanyi, memang Amy (Raja Rock Negara).
“Semua kena tahu, sejarah itu memang tak boleh tukar dan padam. Rock datang daripada band, bukan individu, suka tak suka, memang Search adalah perintis kepada muzik rock Malaysia,” kata JoBranko kepada Kosmo! Online pada sidang media The Grand Slam Unplugged di Rumah Kayu 1928, di sini, semalam.
JoBranko menyatakan, secara puratanya apa yang diutarakan Awie itu ada kebenarannya namun jasa Search terhadap rock scene Malaysia memang tidak patut dipandang enteng.
“Secara puratanya, betul apa yang Awie cakap , tapi kalau orang tanya, saya tak angkat penyanyi kerana yang bekerja keras bersama adalah kumpulan.
“Rock ini (fasal) band. Tapi biasalah, kalau band yang dapat perhatian lebih adalah penyanyi sebab dia adalah frontman. Cuba kalau dia duduk di belakang, akan lain jadinya.
“Sebenarnya, dalam band ini kalau kita nak cerita yang paling penting adalah drummer.
“Dummer kalau main tak best, band itu pun jadi tak best. Kalian sendiri tahulah kenapa Search yang terbaik, sebab drummer dulu (arwah Yazit Ahmad) yang banyak berjasa,” katanya lagi.

Tambah pengasas Barbarik itu lagi, anggota kumpulan rock yang paling penting adalah drummer. Menurutnya, drummer bagaikan hero yang tidak didendang.
“Ramai tak perasan, drummer sebenarnya hero tak didendang. Macam Search, Yazit yang utamanya. Saya secara peribadi berpendapat, penyanyi tak tahu apa sangat, dia tahu menyanyi sahaja.
“Misalnya, kalau pandu kereta , drummer yang pegang steering. Gitaris umpama gearbox. Penyanyi bagi saya macam viper, bagi cerah guna air supaya tak terbabas.
“Steering macam drummer, kalau dia bawa ke longkang, semua ke longkang. Gitaris sebenarnya yang banyak buat lagu tapi biasalah di mana-mana di dunia pun, perhatian selalu diberi kepada penyanyi.
“Sebab itu, kalau orang menamakan penyanyi (dalam satu-satu kumpulan) sebagai God of rock, saya kurang bersetuju. Pada saya, Search itu God of Rock, bukannya Amy,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Awie atau nama lengkapnya, Ahmad Azhar Othman menganggap ikon industri muzik Amy lebih layak digelar sebagai Raja Rock Negara.
Kata Awie, vokalis kumpulan Search yang berpengalaman lebih empat dekad di arena seni itu memberikan sumbangan besar selaku antara pelopor mengukuhkan irama rock dalam landskap muzik tanah air. – KOSMO! ONLINE














