fbpx
Shathisuaran (kanan) bersama dua adiknya, Pavithra (tengah) Cheran (kiri) menunjukkan gambar ibu bapa mereka yang terkoban dalam kemalangan tragis di Jalan Ampang, kelmarin.

‘Ayah tak minum, hisap rokok tapi maut akibat pemandu mabuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Ayah saya tak minum, tak hisap rokok…dia sangat mementingkan keluarga, tapi akhirnya mati dilanggar pemandu mabuk.”

Demikian luahan pilu Shathisuaran, 26, selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam kemalangan tragis di Jalan Ampang, di sini kelmarin.

Menurut Shathisuaran, bapanya, A. Doraisingam, 61, merupakan seorang yang berdisiplin tinggi selain mengamalkan gaya hidup sihat dan positif.

Katanya, kehilangan tersebut juga amat sukar diterima memandangkan ibu dan bapanya seorang yang sangat mementingkan keluarga.

“Ayah memang tak minum alkohol, tak merokok. Dia jenis yang jaga diri dan sangat pentingkan keluarga.

“Kalau ada saudara-mara datang rumah, dia mesti tanya sudah makan atau belum. Dia akan belikan makanan untuk semua,” katanya sebak ketika ditemui di kediamnnya di Jalan Raja Laut, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 pagi itu, Doraisingam maut bersama isterinya, A. Menagah, 56, selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta dipercayai dipandu individu dalam keadaan mabuk.

Lebih menyayat hati, ketika kejadian, mendiang sedang menghantar isterinya ke tempat kerja di Hospital Gleneagles.

Sementara itu, adiknya, Pavithra, 24, berkata, ibunya pula seorang yang rajin dan tetap keluar bekerja walaupun dalam keadaan kurang sihat demi mencari rezeki untuk keluarga.

“Ibu saya memang seorang yang tak boleh diam. ada sahaja kerja dia nak buat walaupun di rumah. Sebenarnya, ibu demam pada hari kejadian tapi dia tetap ingin pergi kerja.

“Ogos ini genap 30 tahun ibu saya bekerja di hospital berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Shathisuaran bersama dua adiknya Pavithra dan Cheran, 19, yang kini menjadi yatim piatu berharap agar keadilan dapat ditegakkan untuk kedua-dua ibu bapa mereka yang terkorban.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Ampang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri terbabit.

Pemandu dan penumpang hadapan berusia 23 tahun kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.

Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN