fbpx
REAKSI Trump kepada media sebelum memasuki White House sambil ditemani Donald Trump Jr semalam. – AFP

Seluruh dunia minta bantuan Amerika, Trump mulakan ‘Projek Kebebasan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata bahawa  ‘perbincangan sangat positif’ sedang berlangsung dengan Iran untuk menamatkan perang, namun menambah, tentera Amerika Syarikat(AS) akan mula memandu arah kapal-kapal dagang  keluar dari Selat Hormuz yang disekat Tehran.

Terdahulu  jurucakap kementerian luar Iran, Esmaeil Baqaei  memberitahu televisyen kerajaan,  Tehran telah menyerahkan pelan 14 perkara yang memberi tumpuan  untuk menamatkan perang, manakala Washington membalasnya dalam mesej kepada perantara Pakistan.

“Wakil-wakil saya sedang mengadakan rundingan  sangat positif dengan Iran, dan perbincangan ini boleh membawa kepada sesuatu yang sangat positif untuk semua,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.

Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu, mengorbankan pemimpin agung republik Islam itu. Tehran membalas dengan membedil pangkalan-pangkalan  tentera AS dan sasaran Israel di seluruh  Asia Barat.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April lalu dengan  pusingan rundingan damai pertama diadakan di Islamabad, namun kedua-dua negara masih buntu.

Tehran pula mengekalkan cengkaman di Selat Hormuz sejak perang bermula, manakala Washington  mengenakan sekatan balas ke atas pelabuhan Iran.

Trump berkata ‘negara-negara dari seluruh dunia’ meminta bantuan Amerika dalam mengemudi melalui laluan air utama itu dan keluar dari rantau Teluk.

“Demi kebaikan Iran, Asia Barat dan Amerika Syarikat, kami telah memberitahu negara-negara ini bahawa kami akan memandu kapal  mereka keluar dengan selamat dari laluan air disekat  ini supaya mereka boleh meneruskan aktiviti dengan bebas dan cekap.

“Proses ini, Projek Kebebasan (Project Freedom) akan bermula pagi Isnin, waktu Asia Barat,” kata Trump.

Beliau menyifatkannya sebagai ‘isyarat kemanusiaan’ dengan mengatakan,  banyak kapal yang terkandas, kehabisan makanan dan segala keperluan lain.

Trump tidak memberikan butiran lanjut  tentang bagaimana misi itu akan dilakukan. Namun, operasi mengiringi  kapal-kapal  keluar dari selat  sempit itu boleh meletakkan anggota tentera AS dalam kedudukan sangat dekat dengan tentera Iran.

Dalam hantaran di laman  X, Markas Pemerintah Pusat(CENTCOM) berkata,  bermula hari ini, tenteranya akan mula menyokong Projek Kebebasan dengan penyertaan kapal-kapal pemusnah peluru berpandu berpandu, lebih 100 pesawat berpangkalan di darat dan laut, platform tanpa pemandu dan 15,000 anggota tentera.

“Sokongan kami untuk misi pertahanan ini adalah penting untuk  keselamatan serantau dan ekonomi global sementara kami juga terus mengekalkan sekatan maritim,” kata komander CENTCOM, Laksamana Brad Cooper.

Setakat 29 April lalu, lebih 900 kapal komersial berada di rantau Teluk, demikian menurut firma perisikan maritim AXSMarine, manakala terdapat lebih 1,100 kapal pada permulaan perang tersebut.  – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN