BACHOK – Lembaga Tabung Haji (TH) menubuhkan pasukan pemantau khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan bakal jemaah tidak menjadi mangsa penipuan sindiket pada saat akhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu dilaksanakan melalui pemantauan berterusan di KLIA, selain di media sosial yang sering menjadi medium tawaran pakej haji tidak sah.
Menurutnya, setakat hari ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan penipuan membabitkan badal haji, namun langkah pencegahan terus dipergiatkan.
“Pihak TH sentiasa membuat pemantauan bukan sahaja di lama sosial malah pasukan pemantau turut digerakkan di lapangan terbang bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan membabitkan tawaran pakej haji.
“Ia penting bagi mengelakkan bakal jemaah terpedaya dan kita tidak mahu ada yang kecewa ditipu di saat-saat akhir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Kozee Coffee & Pastry di Telong di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, TH turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti bagi mengesahkan kesahihan sesuatu tawaran sebelum membuat bayaran.
Zulkifli berkata, pergerakan jemaah haji Malaysia tahun ini turut diselaraskan sepenuhnya melalui KLIA dengan penggunaan kemudahan Makkah Route bagi memastikan kelancaran urusan perjalanan. – KOSMO! ONLINE














