KOTA TINGGI – Seorang suami menghembuskan nafas terakhir malam tadi hanya beberapa jam selepas selesai pengebumian isteri dan anaknya yang terkorban dalam nahas jalan raya di Kilometer 71, Jalan Johor Bahru–Mersing.
Kamilin Alias, 56 sebelum ini ditidurkan selepas mengalami cedera parah selepas kereta Proton Persona dipandu ketika dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan di Mersing terlibat kemalangan dengan Perodua Bezza.
Akibat nahas itu isteri Rubeta Mohd, 51 dan anak bongsunya Nur Isyirah Syakirah, 14 yang turut menaiki kenderaan sama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Anak ketiga mangsa, Mohd Aiman, 20 memaklumkan bapanya itu meninggal dunia pada pukul 10.35 malam di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Katanya jenazah bapanya disolatkan di Masjid Taman Seri Saujana sebelum dikebumikan sebelah kubur ibu dan adiknya di Tanah Perkuburan Islam Dagang, Kampung Makam.
Suasana pilu menyelubungi masjid apabila solat jenazah diimamkan sendiri anak kedua mangsa Mohd Izat, 22.
Kira-kira 100 ahli keluarga, saudara mara juga kenalan Allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir di masjid dan di kubur.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 5.15 petang melibatkan kereta Proton Persona dinaiki sebuah keluarga dan sebuah Perodua Bezza. – KOSMO! ONLINE














