PETALING JAYA – Fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan manusia, malah turut menyebabkan barangan plastik di dalam kenderaan mula mengalami kerosakan.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh Azianliyana, dia memaparkan sekeping kad yang diletakkan di dalam pemegang kad pada cermin hadapan kereta melentur sehingga tidak boleh digunakan lagi.
Menurutnya, suhu di Malaysia kini terlalu panas sehingga mengakibatkan kad tersebut berubah bentuk.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berseloroh menyamakan keadaan kad yang melentur dan berubah warna itu seperti ‘keropok lekor’ akibat bahang matahari yang melampau.
“Terus jadi keropok kering,” kata Yandeeana.
“Kad tu ‘slip disc’ ke?,” ujar S.Nashiehah berseloroh.
Malah, seorang lagi pengguna, Farinarohaizat turut berkongsi gambar keadaan kad miliknya yang sudah mula membengkok dipercayai akibat dibiarkan di atas papan pemuka (dashboard) kenderaan.
“Masih elok lagi tu, simpan lah dalam beg duit. Akak punya dah tak rupa kad, dah macam daun kering,” balas Azianliyana berseloroh. – KOSMO! ONLINE













