KEMAMAN – Seorang juruteknik maut manakala dua anak perempuannya cedera ringan setelah kenderaan pikap, Mitsubishi Triton dinaiki mereka dirempuh sebuah lori terbabas di Kilometer (KM) 291 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2), berhampiran Hentian Kijal, di sini, semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6 petang itu, mangsa, Rosli Yusuf, 54, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada seluruh badan.
Dua anaknya, Iliya Markisa, 23, dan Ukhratan Basyirah, 14, pula masing-masing mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala dan leher serta bahagian mata dan muka.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, sewaktu kejadian, tiga beranak itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Teruna, Kijal, di sini, dari Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Mitsubishi Triton dinaiki tiga beranak tersebut yang di berada di lorong kanan lebuh raya tiba-tiba dirempuh sebuah lori treler.
“Kenderaan berat yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang berlenaan dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh kenderaan utiliti sukan, Proton X50. – KOSMO! ONLINE














