TERLETAK kira-kira satu jam setengah perjalanan dari Kuala Lumpur, Kuala Pilah, Negeri Sembilan kini semakin dikenali sebagai destinasi percutian alternatif. Daerah itu menawarkan ketenangan, makanan tradisional serta pengalaman gaya hidup kampung yang autentik.
Destinasi itu bukan sahaja menjadi persinggahan, malah mula menarik perhatian pelancong yang mencari pengalaman ‘healing’ jauh dari kesibukan bandar.
Dengan suasana pekan kecil yang masih mengekalkan identiti tradisional, Kuala Pilah menawarkan gabungan unik antara alam semula jadi, budaya Minangkabau dan gaya hidup santai.
Pengunjung yang berkunjung bukan sekadar ingin menikmati pemandangan, malah merasai sendiri kehidupan kampung yang masih terpelihara.
Menurut seorang penduduk tempatan, Mohd. Nizam Zaki, 41, Kuala Pilah mempunyai daya tarikan tersendiri yang sering dipandang rendah oleh orang luar.
“Ramai orang ingat Kuala Pilah sekadar tempat lalu atau kampung biasa, tapi sebenarnya banyak benda menarik.
“Dari makanan, suasana sampai ke aktiviti harian, semua ada keunikannya yang tersendiri,” katanya.
Salah satu tarikan yang telah lama mendapat perhatian adalah kedai-kedai emas di sekitar pekan Kuala Pilah.
Kawasan itu dikenali sebagai antara destinasi beli-belah emas yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pengunjung luar daerah.
Kuala Pilah menjadi tumpuan kerana reputasinya sebagai ‘hab emas kampung’ yang menawarkan pelbagai pilihan barang kemas pada harga lebih berpatutan berbanding di bandar besar.
Selain itu, pelanggan juga tertarik dengan layanan mesra peniaga yang sudah lama beroperasi secara turun-temurun.
Difahamkan, kepercayaan antara faktor utama kedai emas di Kuala Pilah terus menjadi pilihan.
“Orang datang sini bukan saja makan atau jalan-jalan, tapi ramai juga yang datang beli emas.
“Harga dan pilihan memang jadi faktor utama,” jelas Mohd. Nizam.
Selain itu, Kuala Pilah terkenal dengan hidangan masakan kampung yang masih mengekalkan rasa asli turun-temurun.
Hidangan seperti gulai lemak cili api, rendang Minang, sambal tempoyak dan pelbagai kuih tradisional mudah didapati di warung-warung kecil di tepi jalan.
“Kalau datang sini tak cuba makanan kampung memang rugi. Rasa dia lain, tidak sama macam di bandar,” katanya.
Istana Lama Seri Menanti juga antara lokasi wajib dikunjungi. Istana itu didirikan mengikut seni bina masyarakat Minangkabau.
Bagi mereka yang mencari ketenangan, suasana di Kuala Pilah sangat sesuai untuk aktiviti ‘healing’.
Jalan-jalan kampung yang sunyi, udara segar serta pemandangan sawah dan bukit menjadikan kawasan itu pilihan ideal untuk berehat seketika daripada rutin harian.
“Jika mahu bercuti, boleh ke Boutique Resort La Hilir yang memang cantik dan menenangkan.
“Pelawat juga boleh merasai kesejukan air sungai di Ulu Bendul,” katanya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga, Kuala Pilah mula menarik perhatian generasi muda yang gemar merakam gambar estetik dan menikmati gaya hidup perlahan.
Walaupun tidak terlalu komersial, namun daya tarikannya terletak pada kesederhanaan dan keaslian.
Dengan gabungan elemen beli emas, makanan tradisional dan suasana kampung yang menenangkan, Kuala Pilah kini semakin dikenali sebagai destinasi kunjungan ramai yang unik.














