MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menjadi mangsa buli senior apabila dipukul, ditendang selain kepalanya direndam dalam baldi di sebuah rumah anak yatim di Tanjung Kling di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 7.11 malam, Rabu lalu berhubung perbuatan beberapa pelajar senior yang dikenali anaknya.
Bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menahan empat pelajar sekolah menengah berusia 15 hingga 16 tahun pada pukul 3.45 petang kelmarin.
“Mangsa tinggal sebuah rumah anak yatim di Tanjung Kling dan mendakwa dibuli dengan cara kekerasan oleh pelajar senior yang dikenalinya.
“Suspek dikatakan telah memukul, menendang, merendam kepala mangsa di dalam baldi air selain menyeret murid tersebut di atas lantai tandas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas bahan terlarang.
“Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil. Kes disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














