fbpx
PERARAKAN melibatkan anggota TLDM pada perasmian Perarakan Bandar Tentera Laut Lumut sempena ulang tahun ke-92 Tentera Laut Diraja Malaysia di Dataran Lumut, hari ini.

3,000 pengunjung meriahkan Perarakan Bandar Tentera Laut Lumut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Kira-kira 3,000 pengunjung teruja kerana dapat hadir pada perasmian Perarakan Bandar Tentera Laut Lumut sempena ulang tahun ke-92 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta melihat sendiri aset-aset pertahanan maritim negara yang canggih.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat hadir menyempurnakan majlis tersebut diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md. Nor.

Majlis diserikan persembahan pembukaan oleh Badan Kesenian TLDM menerusi Tarian Seri Dabus Labu Indera yang melambangkan kesenian tradisi Melayu Perak.

Sambutan lebih meriah dengan acara perarakan melibatkan 21 kontinjen yang terdiri daripada TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan persatuan belia tempatan.

Seorang pengunjung, Akmal Nazmi Kassim, 36, sanggup hadir dari Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang kerana teruja untuk menyaksikan kapal-kapal milik TLDM.

“Bukan mudah untuk melihat sendiri KD Laksamana Hang Nadim, KD Ledang, KD Kinabalu dan KM Gagah. Saya turut bercuti sempena Hari Pekerja, jadi banyak masa terluang jadi kesempatan ini digunakan membawa keluarga bersama melihat aset maritim ketenteraan secara lebih dekat,” katanya.

Bagi Nur Hamizah Roslan, 38, yang juga menetap di Kepala Batas berpeluang menyaksikan perasmian tersebut kerana mengunjungi anak saudaranya yang bekerja di Lumut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN