APAKAH hukum isteri meminta upah atau hadiah kerana melahirkan anak? Ia sudah menjadi satu trend dan beban tambahan kepada suami. Mohon pencerahan.
JAWAPAN: Anak adalah antara nikmat dalam kehidupan berumah tangga dan merupakan amanah daripada Allah SWT kepada suami dan isteri. Kehamilan atau kelahiran merupakan salah satu sunnatullah dalam proses kejadian manusia.
Maklum diketahui bahawa yang melahirkan manusia adalah wanita yang digelar ibu sebagaimana yang disebutkan dalam banyak ayat al-Quran antaranya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” (Surah al-Ahqaf, 15)
Syeikh Wahbah al-Zuhaili menerangkan dalam tafsirnya: “Dan dalam ayat ini terdapat isyarat bahawa hak seorang ibu adalah lebih utama daripada hak seorang bapa, kerana ibu mengandungkannya dengan kepayahan, melahirkannya juga dengan kepayahan, menyusukannya, memeluk dan memeliharanya dengan penuh keletihan dan kesabaran. Sedangkan bapa tidak mengambil bahagian dalam mana-mana hal tersebut, walaupun dia penat dalam mencari rezeki dan memberi nafkah.”
Oleh sebab itu, hadis-hadis Nabi SAW menegaskan kewajipan berbakti kepada ibu, bahkan meletakkan kedudukan ibu tiga kali lebih utama daripada kedudukan bapa.”
Maka jelaslah melahirkan anak adalah tanggungjawab seorang isteri. Manakala tanggungjawab seorang suami pula adalah memberi nafkah.
Justeru itu, tiada bayaran atau pemberian wajib kepada isteri atas sebab melahirkan anak, melainkan suami hendaklah melaksanakan pemberian nafkah sebagaimana yang telah diwajibkan menurut hukum syarak.
Walaupun tidak wajib upah dari segi hukum syarak, namun menghargai isteri yang berkorban nyawa untuk melahirkan anak adalah amat digalakkan.
Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang baik dalam semua perkara, termasuklah juga dalam hal berkaitan hubungan antara suami isteri.
Baginda SAW bersabda dalam hadis berikut: “Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang terbaik terhadap isteriku. (Riwayat Ibn Majah)
Antara contoh bentuk penghargaan suami kepada isteri atas sebab melahirkan anak adalah memberi layanan istimewa semasa isteri sepanjang tempoh kehamilan dan proses melahirkan, menyediakan ruang berehat yang baik dan selesa serta memberi sokongan emosi serta fizikal sepanjang proses-proses sukar.
Oleh itu, walaupun tiada kewajiban hukum, suami yang menghargai pengorbanan isteri akan tetap memberi sesuatu termampu sebagai tanda kasih dan penghormatan.
Kesimpulannya, tidak wajib bagi suami memberi upah (bayaran) kepada isteri kerana melahirkan anak bukan tugas isteri yang wajib dibayar, bahkan ia termasuk dalam tanggungjawab seorang isteri dan amanah seorang ibu dalam hubungan berkeluarga.
Menghargai isteri yang berkorban jiwa dan raga untuk melahirkan zuriat.
Meskipun tidak diwajibkan menurut hukum syarak, namun menghargai isteri adalah amalan yang sangat terpuji.
Penghargaan itu bukan sekadar dalam bentuk wang atau harta, bahkan lebih bermakna jika disertai dengan sifat ihsan, kata-kata lembut serta layanan penuh kasih sayang daripada suami sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran anak.














