PONTIAN – Seorang pekerja asing dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya Ahad lalu.
Tertuduh, Santosh Mukhiya, 24, yang merupakan warga Nepal membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurhafiza Haron.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki rakaman video lucah kira-kira pukul 11 pagi di sebuah rumah di Parit Haji Ariff, Kayu Ara Pasong di sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan perlu menyara ibu bapa serta adik-beradik di negaranya.
Mahkamahn menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal berbuat demikian. Tertuduh menjelaskan denda tersebut.-KOSMO! ONLINE














