fbpx
Anggota polis membawa Mohd. Azwan untuk didakwa atas pertuduhan membunuh bapanya di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. Foto KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Lelaki OKU mental didakwa bunuh bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya yang berusia 83 tahun di sebuah rumah di Kampung Baung Bayam di sini pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Azwan Muhammad, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap bapa, Muhammad Ishak, 83, di sebuah rumah di Kampung Baung Bayam kira-kira pukul 10.30 pagi pada 20 April lalu.

Mohd. Azwan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin dan Ahmad Nizam Mohamed.

Terdahulu, Mohd. Nadzir memohon agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Dalam prosiding sama, Tengku Shazuan dan Ahmad Nizam turut mengemukakan salinan kad OKU mental milik anak guamnya.

Mahkamah kemudian mengarahkan Mohd. Azwan dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah turut menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mengemukakan laporan psikiatri tertuduh dan laporan bedah siasat mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Baung Bayam di sini pada 20 April lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini kira-kira pukul 6.30 petang keesokan harinya.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek yang bertindak menumbuk bapanya itu dipercayai mempunyai masalah mental.

“Lelaki itu bertindak sedemikian selepas berang ditegur oleh bapanya ketika sedang membancuh minuman. Kejadian berlaku apabila mangsa yang dikatakan seorang tegas atau garang telah menegur anaknya yang sedang membancuh minuman.

“Suspek terkejut lalu berpaling dan terus menumbuk bapanya. Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan kepalanya terkena simen sehingga tengkorak pecah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN