JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dikenakan hukuman denda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan berkaitan ‘keldai akaun’, tahun lalu.
Tertuduh, Yeap Quah Chia Yong, 30, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didapati secara tidak langsung menggunakan akaun bank miliknya bagi suatu transaksi kemasukan wang berjumlah RM100,000 tanpa maksud yang sah.
Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan di hadapan Perpetual Memorial Park, Kulai pada 28 Januari 2025.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen yang sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman dengan penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didapati secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik mangsa berjumlah RM4,950 ke dalam akaun bank atas nama SMYEE Tech Sdn. Bhd. yang mana syarikat tersebut adalah milik kamu.
Chia Yong melakukan perbuatan tersebut di Jalan Iris Indah, Rumah Bandar Iris Indahpura, Kulai, pada 27 Januari 2025.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan dibawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan diperintahkan hukuman penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, tertuduh membayar denda tersebut.-KOSMO! ONLINE














