PETALING JAYA – Menjadikan arwah ibu sebagai suri teladan, penyanyi Kaka Azraf lebih selesa menerapkan pendekatan bersifat tolerasi dalam mendidik permata hatinya.
Kata Kaka atau nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 36, wanita dihormatinya itu tidak pernah menakut-nakutkan anak-anak jika mereka tersilap langkah sebaliknya memberi nasihat dengan lembut.
“Mama tak pernah guilt-tripped (buatkan rasa bersalah) dalam nasihat, tak pernah gunakan agama untuk menakut-nakutkan.
“Dia memupuk rasa kasih menerusi kasih sayang dan dari situ dia menanamkan rasa empati dalam diri saya.
“Dan saya nak hidupkan nilai itu dalam diri anak-anak. Al-fatihah buat Mama, Redida Aziz. Wanita terhebat dalam hidup saya,” katanya dalam hantaran di Threads.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, daripada didikan orang tuanya juga dia memahami kasih sayang tidak wajar dijadikan cara untuk mengawal seseorang.
“Nasib baik arwah mama selalu cakap pasal kasih sayang. Cinta tak perlukan apa-apa syarat. Awak buat ni, saya tak sayang awak, awak buat tu saya sayang awak. Tidak,” ujarnya.
Menerusi perkongsian lain, Kaka turut menyatakan mempelajari hal paling penting dalam hidup tentang perkembangan kanak-kanak.
“Satu perkara saya belajar dalam mendidik anak kecil terutamanya, kasih dulu, baru kuasa,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih maklum balas netizen yang sependapat dengannya dalam soal pendidikan anak.
“Itu bukan cinta, itu mengawal. Tepat yang anda katakan,” tulis seorang pemilik akaun Threads.
Kaka mendirikan rumah tangga dengan Adam Azriff pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga cahaya mata lelaki berusia tujuh hingga tiga tahun. – KOSMO! ONLINE














