fbpx
Zufar menjual air tembikai dengan bantuan adik-beradiknya di kediaman mereka di Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor.

Zufar pilih ‘Bayar Ikut Suka’ kerana kesukaran mengira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI tengah hiruk-pikuk kehidupan yang sering diukur dengan angka dan keuntungan, muncul kisah seorang remaja yang mengingatkan kita tentang nilai keikhlasan yang semakin jarang diraikan.

Muhammad Zufar Azman, 17, bukan sekadar menjual air tembikai di tepi jalan tetapi dia mencipta satu pengalaman yang menyentuh hati ramai apabila memperkenalkan konsep ‘bayar seikhlas hati’, satu pendekatan yang luar biasa dalam dunia perniagaan masa kini.

Lebih menyentuh perasaan, remaja mesra disapa Zufar itu merupakan seorang remaja disleksia yang berdepan cabaran pembelajaran sejak kecil.

Namun, keterbatasan itu tidak pernah menjadi alasan untuk dia berdiam diri atau bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

Sebaliknya, dia memilih untuk berdikari, membina keyakinan diri dan berinteraksi dengan masyarakat melalui usaha kecilnya itu. Ia satu langkah berani yang tidak semua remaja seusianya mampu lakukan.

Zufar menjual air tembikai dengan bantuan adik-beradiknya di kediaman mereka yang terletak di Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor.

Berkongsi dengan K-Remaja, Zufar memaklumkan bahawa konsep tersebut dipilih kerana dirinya yang tidak begitu mahir mengira.

“Kebolehan mengira dan membaca saya adalah terbatas. Oleh sebab itu, selepas berbincang dengan keluarga, bapa dan abang mencadangkan untuk saya menjual air tembikai, namun dengan konsep bayar seikhlas hati.

“Sejujurnya, saya rasa seronok apabila melihat pelanggan datang dan membeli air yang kami jual,” katanya membuka bicara.

Zufar mula mengalami masalah pembelajaran selepas memasuki alam persekolahan.

Oleh sebab itu, keluarganya membuka peluang buat Zufar untuk belajar berniaga, sebagai inisiatif untuk membantu Zufar membina masa depan yang lebih berdikari.

Ujar Zufar, dia seronok apabila berniaga, lebih-lebih lagi apabila melihat pendapatan yang diperolehnya.

“Sekiranya saya dapat duit lebih, saya akan belanja ibu,” katanya yang turut meminati aktiviti go-kart di masa lapang.

Zufar juga memaklumkan bahawa dia seronok apabila melihat rakan-rakan atau kenalannya yang datang ke gerai jualannya sebagai memberi sokongan terhadap perniagaan air tembikai itu.

ZUFAR remaja disleksia yang mengalami kesukaran untuk mengira dan sebagainya mendapat keyakinan diri dengan berniaga air tembikai.

Disleksia merupakan gangguan pembelajaran berasaskan neurologi yang menjejaskan keupayaan membaca, mengeja, menulis dan bertutur. Anak-anak disleksia secara amnya mengalami cabaran dalam menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Menurut internet, disleksia turut melibatkan kesukaran mengira apabila mengalami kekeliruan dalam memahami konsep matematik, nombor dan pengiraan asas.

Antara kes disleksia mengira ialah sukar mengenali atau memproses simbol nombor, kekeliruan dalam membezakan nombor, salah dalam mengira tambah, tolak, darab dan bahagi atau sukar mengingati urutan nombor.

Remaja disleksia, Zufar yang menjual air tembikai tular baru-baru ini di media sosial.

Pada meja jualannya terdapat sebuah peti tertera kata-kata ‘Bayar Ikut Suka’.

Menerusi perkongsian video di akaun TikTok milik Zufar itu, rata-rata pelanggan memberikan reaksi terkejut apabila dimaklumkan tentang konsep bayaran seikhlas hati itu.

Namun, ramai juga yang mendoakan perniagaan Zufar terus maju dan keikhlasan remaja itu tidak dijadikan ruang buat orang untuk mengambil kesempatan terhadap jualannya.

Malah, ada juga pelanggan yang secara sukarela membayar lebih daripada harga kebiasaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha dan keberanian Zufar.

Tidak kurang juga yang datang dari luar kawasan semata-mata untuk merasai sendiri pengalaman membeli air dengan konsep berasaskan kepercayaan itu.

Situasi tersebut secara tidak langsung mencerminkan bahawa dalam masyarakat yang sering skeptikal, masih wujud kelompok yang menghargai nilai kejujuran dan empati.

Bagi mereka, membeli air tembikai Zufar bukan sekadar transaksi, tetapi satu bentuk sokongan terhadap semangat seorang remaja yang enggan menyerah kepada kekangan dirinya.

Berkongsi tentang adik lelakinya itu, kakak Zufar, Haziqah Azman, 27, berkata sebagai seorang remaja disleksia, Zufar boleh dan mampu urus diri sendiri, namun dia mudah lupa.

“Oleh sebab itu, sebagai ahli keluarga, kami perlu sentiasa mengingatkannya tentang apa yang dia perlu buat,” katanya.

Haziqah juga memberitahu dia nampak banyak perubahan dalam diri Zufar selepas adiknya itu berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Kini, Zufar sudah semakin berani dan yakin untuk berkomunikasi dengan pelanggan.

“Sebelum ini, kebanyakan waktunya dihabiskan dengan duduk di rumah dan menonton televisyen.

“Jadi apabila dia mula menjual air tembikai dan berjumpa dengan ramai pelanggan, saya nampak perubahan daripada segi keyakinannya untuk berinteraksi dengan orang ramai,” kongsi Haziqah.

Haziqah memaklumkan perniagaan yang diusahakan itu bukanlah untuk mengejar keuntungan, namun sebagai medium keluarganya juga untuk bersedekah.

Bahkan, memandangkan mereka memperkenalkan konsep bayar seikhlas hati, adakalanya pelanggan cuma membayar serendah 50 sen atau 10 sen sahaja untuk secawan.

“Namun, saya seronok kerana saya nampak keikhlasan Zufar dalam berniaga, walaupun dia cuma dibayar 50 sen untuk secawan.

“Tambahan lagi, kami turut menerima pelanggan dari jauh yang sanggup datang apabila mendapat tahu konsep menarik yang kami perkenalkan untuk air tembikai ini,” katanya.

Mengakhiri bicara, Haziqah berkata masyarakat tidak seharusnya memandang rendah kepada individu disleksia seperti Zufar.

“Sebagai individu yang mempunyai ahli keluarga dengan disleksia, sebaiknya kita tidak sesekali memandang rendah terhadap mereka dan sokonglah apa sahaja minat mereka,” katanya.

Video dan kisah Zufar yang tular di media sosial membuka mata ramai tentang makna sebenar kepercayaan dan empati dalam komuniti.

Di sebalik gelas-gelas air tembikai yang dijual, terselit mesej besar tentang kejujuran manusia, bahawa masih ada ruang untuk kebaikan dan keikhlasan hidup subur dalam masyarakat, jika kita sendiri memilih untuk mempercayainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN