MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Michael Carrick memberi amaran supaya para pemainnya tidak terlalu gembira kerana menganggap mereka masih belum mencipta apa-apa kejayaan setakat ini.
Awal pagi semalam menyaksikan United mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga saingan Liga Perdana Inggeris apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas Brentford di Old Trafford sekali gus mencerahkan laluan untuk kembali ke Liga Juara-Juara.
Kemenangan itu menyaksikan secara matematiknya, United hanya memerlukan dua mata sahaja lagi pada baki empat perlawanan untuk mereka melunaskan impian kembali beraksi di saingan Eropah tersebut.
Peluang yang paling hampir untuk mereka berbuat demikian adalah perlawanan pada hujung minggu ini menentang musuh tradisi, Liverpool di laman sendiri dengan kemenangan pasti mengesahkan tempat buat mereka.
“Saya fikir keputusan dalam dua perlawanan ini agak bagus untuk pasukan. Kami sudah pun membuka peluang yang agak baik dan kami perlu berikan lebih lagi untuk meletakkan pasukan di kedudukan terbaik.
“Saya fikir pemain berhak mendapatkan kredit kerana kami mengharungi minggu yang cukup efektif. Satu perkara lagi adalah tentang Liga Juara-Juara, tetapi segalanya belum berakhir dan kami tidak boleh terlalu meraikan kedudukan kami sekarang.
“Kami mahu menamatkan saingan di kedudukan terbaik, kami mahu beri cabaran dan mendapatkan lebih banyak mata. Namun, sekarang masih banyak kerja yang perlu kami lakukan,” katanya.
Hujung minggu ini, United berpeluang untuk mengesahkan tempat dalam kelompok lima terbaik tanpa turun beraksi jika Brighton tewas kepada Newcastle dan Bournemouth gagal menang ke atas Crystal Palace apabila kedua-dua perlawanan itu akan dilangsungkan lebih awal. – AGENSI














