PETALING JAYA – Hospital Kuala Lumpur (HKL) memandang serius terhadap perkongsian di media sosial berhubung pengalaman pesakit di Klinik Pakar Oftalmologi, baru-baru ini.
Pengarah HKL, Datuk Dr. Harikrishna K.R Nair berkata, klinik berkenaan merupakan pusat rujukan utama yang mengendalikan pelbagai kes mata termasuk kes kompleks, dengan kira-kira 480 temu janji pesakit setiap hari selain purata 70 kes rujukan baharu.
Beliau berkata, susulan itu bagi memastikan aliran perkhidmatan lebih teratur, sistem temu janji berperingkat telah dilaksanakan.
“Sekiranya pesakit hadir mengikut slot yang ditetapkan, purata masa menunggu selepas pendaftaran adalah sekitar 30 hingga 45 minit, sebelum menjalani prosedur lanjut seperti pemeriksaan dan pengembangan anak mata (dilate).
“Keseluruhan tempoh rawatan boleh mengambil masa antara empat hingga enam jam bergantung kepada keperluan klinikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dr. Harikrishna berkata, seiring dengan usaha menambah baik pengalaman pesakit, beberapa langkah telah dan sedang diambil bagi memperbaiki keadaan semasa termasuk pengoperasian klinik secara berterusan melalui sistem penggiliran petugas, pengoptimuman jadual temu janji serta penambahbaikan aliran pesakit di klinik.
“HKL juga ingin memohon kerjasama semua pesakit untuk mematuhi waktu temu janji yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan dan keselesaan bersama.
“Pihak pengurusan HKL komited untuk terus menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan dan amat menghargai setiap maklum balas yang diterima,” katanya.
Terdahulu, tular di laman X menunjukkan kesesakan di klinik tersebut di mana seorang pengguna mendakwa terdapat kira-kira 180 orang pesakit sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan.
Menerusi hantaran itu katanya, rata-rata pesakit juga terpaksa berdiri semasa menunggu kerana ketiadaan tempat duduk yang mencukupi. – KOSMO! ONLINE














