PETALING JAYA – Seorang lelaki tidak menyangka perbelanjaan sekitar RM33 untuk membeli makanan di R&R Pagoh (Arah Utara) menjadi asbab untuk membawa pulang sebuah kereta Perodua Alza 1.5H bernilai hampir RM70,000, hari ini.
Jamal Zaman Kaus, 49, muncul sebagai pemenang bertuah utama kempen ‘Belanja dan Menang’ anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet).
Menceritakan semula, Jamal mengakui hampir mengabaikan pesanan yang diterima melalui aplikasi WhatsApp kerana menyangka ia adalah taktik penipuan atau ‘scam’.
“Mula-mula saya dapat WhatsApp daripada seseorang dan saya ingat benda itu tipu sebab tiba-tiba dia kata anda terpilih sebagai pemenang bertuah.
“Saya abaikan lah dan dalam dua hari lepas itu saya tengok email, ada email daripada PLUS. Saya telefon PLUS semua, mereka cakap memang saya menang,” katanya di Majlis Penyampaian Hadiah Kempen ‘Belanja dan menang’ di Dewan Bankuet Persada PLUS hari ini.
Bapa kepada tiga cahaya mata yang bekerja sebagai pemandu di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini menyatakan rasa syukur kerana sebelum ini hanya pernah memenangi hadiah kecil dalam peraduan lain, dan merancang untuk membawa keluarganya bercuti ke Pulau Pinang dengan kereta baharu tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kempen strategik yang berlangsung dari Oktober hingga Disember 2025 itu bertujuan untuk memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan pengguna lebuh raya.
Sepanjang tempoh tersebut, PLUS merekodkan peningkatan penggunaan digital sebanyak 22% dengan lebih 30,000 resit penyertaan diterima, serta penglibatan lebih 500 rakan niaga di kawasan Rehat & Rawat (R&R).
“Sehingga kini, sebanyak 98% gerai-gerai di kawasan Rehat & Rawat (R&R) serta hentian sebelah di Lebuhraya PLUS telah menerima pembayaran tanpa tunai,” ujarnya.
Selain hadiah utama, kempen ini menawarkan ganjaran keseluruhan bernilai lebih RM200,000.
Turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut adalah Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Ir. Mohd Hadzmir Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Ir. Ts. Husain Osman serta Ketua Pegawai Komersial, Payment Network Malaysia, Azrul Fakhzan Mainor. – KOSMO ONLINE














