fbpx
Gambar hiasan.

Kereta PATI terbabas langgar tiang lampu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tindakan nekad warga Indonesia dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) melarikan diri daripada polis berakhir apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas melanggar tiang lampu di Jalan Ibus 2, Seksyen 18 di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.49 pagi selepas menerima maklumat dengan polis peronda sedang mengejar kereta jenis Honda City dinaiki kesemua suspek.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kenderaan suspek dikesan menuju ke Bulatan Seksyen 15 dari arah Dataran Otomobil sebelum bantuan diminta daripada pasukan peronda berhampiran.

Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit enggan berhenti walaupun diarahkan menggunakan lampu beacon, hon serta pembesar suara.

“Suspek bertindak memecut laju serta memandu secara melulu dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kenderaan tersebut terbabas melanggar tiang lampu dan berjaya ditahan di kawasan perumahan Seksyen 18,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan terdapat empat warga Indonesia termasuk wanita berusia 14 hingga 41 tahun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ujarnya, saringan awal air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan dan Sek 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd. Ariff Mat Saman @ Abdul Ghani di talian 019-2647349. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN