JAKARTA – Seorang lelaki ditahan selepas merosakkan 12 batu nisan di sebuah kawasan perkuburan di Medan Deli, wilayah Sumatera Utara semata-mata untuk mencuri besi, lapor laman berita Asatu News kelmarin.
Kejadian berlaku pada 19 April lalu apabila penduduk mendapati sejumlah batu nisan pecah di Tanah Perkuburan Awam Gang Wakaf, Tanjung Mulia Hilir.
Ketua Kampung Tanjung Mulia Hilir, Dedi Anggara berkata, ketika pegawainya sedang menjalankan rondaan di kawasan tanah perkuburan itu, mereka menemui seorang lelaki yang sedang melakukan kegiatan tersebut.
“Pihak berkuasa daerah kecil kemudian membawa lelaki itu ke pejabat untuk disoal siasat. Semasa soal siasat, pelaku mengakui perbuatannya,” kata Dedi.
Tambahnya, pelaku membongkar batu nisan menggunakan peralatan khas untuk menanggalkan plat logam yang berfungsi sebagai rangka konkrit bagi mengelakkannya daripada pecah.
“Dia mengambil plat daripada batu nisan. Sebelum dicetak, batu nisan mempunyai plat untuk mengelakkannya daripada pecah dan sebagainya.
“Lelaki itu membongkarnya menggunakan alat khas, memusnahkannya dan mengambil plat tersebut.
“Menurut maklumat daripada ketua kejiranan, dia cuma mendapat bayaran 15,000 rupiah (RM3.40) daripada sejumlah 12 kubur,” kata Dedi.
Pelaku diarahkan menandatangani satu kenyataan yang berjanji untuk tidak mengulangi tindakan serupa sebelum dia dibebaskan. – AGENSI














