PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang) dan Pahang (Bera dan Rompin).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di seluruh Melaka serta Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin),” lapor MetMalaysia.
“Selain itu, kawasan yang dijangka terjejas adalah Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru),” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit (Song).
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













